twitter
    Ikutilah status semasa saya, InsyaAllah :)

SILA PILIH SIARAN YANG ANDA GEMARI. PADAMKAN RADIO UNTUK TONTON TV



Kata-Kata Hatim bin A'sam

Telah berkata Hatim bin A'sam: Sesiapa yang istiqamah dalam empat perkara maka ia akan mendapat keredhaan Allah swt:

1- Yakin hanya kepada Allah swt yakni memberi rezeki,memberi kemudharatan dan segalanya dari Allah swt. Selain daripada Allah swt tidak akan dapat memberikan manfaat dan kemudharatan tanpa izin Allah swt.

2. Bertawakal kepada Allah swt semata-mata.Yakni menyerahkan segala urusannya kepada Allah swt setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan telah melakukan yang terbaik, maka yang selebihnya diserahkan kepada Allah swt.

3. Ikhlas hanya kepada Allah swt. Melakukan sesuatu ibadah atau pekerjaan hanya untuk mendapat balasan Allah swt tanpa ingin mendapat pujian dan balasan daripada makhluk Allah yang lain.

4. Mememahami dan mengenali Qada' dan Qadar Allah swt. Yakin menyakini  bahawa segala yang berlaku adalah atas perancangan dan kehendak Allah swt dan kita sebagai hambanya mampu berusaha sahaja.

Salah Faham Terhadap Ramadhan

Apabila tibanya Ramadhan , maka banyaklah salah faham yang kita dengar dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Antaranya ialah:
- Tidak seronok dan merasa terbeban dengan kedatangan Ramadhan, sedangkan Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati Allah dan mempunyai banyak kelebihannya.
- Berlebihan berbelanja atau melakukan pembaziran di bulan Ramadhan sepatutnya bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita berjimat-cermat dan kita dapat merasa penderitaan orang miskin.
- Lupa atau tidak berniat berpuasa pada waktu malam. Sepatutnya niat itu bermula bila masuk waktu berbuka pada hari tersebut.
- Makan dan minum sewaktu bersahur sehingga habis azan subuh. Sepatutnya kita mesti berhenti makan apabila mendengan azan subuh.
- Tidak mengetahui kelebihan atau fadhilat bulan Ramadhan dan menyambutnya seperti bulan lain.
- Tidak solat Tarawikh pada malam pertama Ramadhan.
- Tidak mencegah orang yang makan pada waktu siang kerana terlupa.
- Tidak membenarkan anak-anak yang belum baligh yang ingin turut berpuasa.
- menganggap makan dan minum pada waku siang kerana lupa itu boleh membatalkan puasa.
- Berpendapat bahawa bercelak, memakai inai, menitis air mata palsu dan merasa makan bagi suri rumah boleh membatalkan puasa.
- Tidak mengetahui dengan jelas tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa.
- Tidak bersugi atau memberus gigi waktu siang hari.
- tidak berdoa waktu berpuasa dan berbuka sedangkan orang yang berpuasa adalah antara orang yang paling makbul doanya.
- Beranggapan bahawa tidak boleh menyetubuhi isteri dalam bulan Ramadan pada waktu malam.
- Tidak boleh berpuasa bagi perempuan yang berhenti haidnya sebelum fajar kerana belum mandi wajib.
- Menangis semasa solat Tarawikh sehingga menggangu jemaah lain.
- Banyak tidur pada waktu siang hari.
- Solat Tarawikh terlalu laju .
- Perempuan hadir ke masjid dengan memakai bau-bauan dan tidak menutup aurat yang sempurna.
- Sibuk untuk membeli - belah pakaian raya dan membuat kuih raya sehingga tidak solat Tarawikh pada 10 malam akhir Ramadhan.
- Sibuk berbuka puasa sehingga tidak menjawab azan Maghrib.
- Banyak meludah sehingga menganggu orang lain. Sedangkan menelan air liur tidak membatalkan puasa.
- Berlebihan menggunakan air semasa berkhumur dan memasukkan air kedalam hidung.
- Berpuasa tetapi tidak meninggalkan perkara-perkara maksiat.
- Tidak bersahur.
- Menyegerakan bersahur sebelum waktunya.
- Melewat-lewatkan berbuka setelah masuk waktu.
- Tidak berbuka dengan benda-benda yang disunatkan seperti buah tamar.
- Makan banyak semasa berbuka.
- Tidak solat maghrib berjamaah kerana leka berbuka.
- Melewat-lewatkan solat maghrib kerana lekan dengan berbuka.

3 Golongan Yang Perlu Dihormati

Rasulullah s.a.w menyeru umat Islam supaya menghormati tiga golongan ini:

- Orang tua yang soleh. Menghormati orang tua adalah merupakan tanggungjawab seorang muslim. Rasulullah s.a.w  bersabda mafhumnya ialah : " Bukan daripada umatku atau golongan ku, mereka yang tidak menghormati orang tua dan mengasihi golongan kanak-kanak.

- Ulama' yang takutkan Allah s.w.t. Iaitu ilmuan Islam yang beramal dengan ilmunya dan menyeru orang lain  untuk melakukan maaruf dan mencegah kemungkaran. Ulama' yang berani menyatakan kebenaran kepada masyarakat dan sanggup berkata benar walaupun di hadapan sultan yang zalim. Ulama' yang tidak menjual agama mereka demi kepentingan kehidupan duniawi.

- Pemimpin yang adil. Yakni pemimpin yang berlaku ada kepada rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa dan status. Pemimpin yang menurut segala perintah Allah s.w.t serta melaksana segala tuntutan Allah s.w.t seperti menegakkan Islam sebagai ad-din atas muka bumi ini. Menjadikan Islam yang memerintah bukan diperintah.

Pesanan Imam As-Shafie

Imam As-Shafie ada berpesan kepada kita semua beberapa perkara untuk menjadi panduan supaya hidup kita selamat dunia dan akhirat. Antara pesanan beliau ialah:

- Perbanyakkan mengingati dan menyebut Allah s.w.t daripada menyebut manusia.
- Perbanyakkan mengingati dan menyebut akhirat daripada menyebut urusan keduniaan.
- Perbanyakkan mengingati dan menyebut kematian daripada menyebut tentang kehidupan.
- Jangan banyak menyebut atau menceritakan kebaikan dan kelebihan diri serta keluarga kepada orang lain.
- Jangan banyak menyebut dan mengingati kesalahan dan keaiban orang lain.

Jenis-Jenis Zalim

Zalim adalah lawan kepada adil. Adil bukan bermaksud sama rata tetapi adil itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Zalim pula bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya seperti meletakkan songkok di kaki bukan di kepala. Zalim itu terbahagi kepada tiga bahagian:

- Zalim terhadap Allah s.w.t iaitu dengan melakukan syirik kepadaNya. Menyembah, mengharap, meminta, beribadah dan berserah diri kepada selain dari Allah s.w.t. Oleh itu orang-orang kafir telah melakukan kezaliman yang paling besar sekali.

- Zalim terhadap diri sendiri iaitu tidak melaksanakan perintah Allah s.w.t dan melakukan maksiat kerana perbuatan tersebut akan mencampakkan diri mereka ke neraka yang amat menyakitkan diri sendiri.

- Zalim terhadap makhluk lain termasuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan iaitu dengan mengambil hak orang lain, menyiksa binatang dan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar.

Benarkah Osama Laden Sudah Mati

Sila perhatikan betul-betul gambar ini. Gambar 1 ialah gambar Osama yang sebenar, gambar 2 adalah gambar seorang yang telah mati dan gambar 3 ialah gambar campuran daripada gambar 1 dan 2. Adakah ini hanya permainan Amerika sahaja untuk menipu umat Islam yang sudah lama tertipu.

Solat Sunat Rawatib

Solat Sunat rawatib adalah solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu. Solat Sunat Rawatib ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu Solat Sunat Rawatib Muakkad dan bukan muakkad.


Solat Sunat Rawatib Muakkad:

- Dua rakaat sebelum solat Subuh.
- Dua rakaat sebelum solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Maghrib.
- Dua rakaat selepas solat Isya'.

Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad:

- Dua  rakaat sebelum solat Zohor, yakni tambahan kepada dua rakaat di atas, yang menjadikan empat rakaat sebelum solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Zohor, yakni tambahan kepada dua rakaat di atas yang menjadikan empat rakaat selepas solat Zohor.
- Empat rakaat sebelum solat Asar.
- Dua rakaat sebelum solat Maghrib.
- Dua rakaat sebelum solat Isya'.

Bersyukurlah Kita Dengan Nikmat Allah s.w.t

Setiap muslim dituntut supaya bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan. Sekiranya kita hitung nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita sudah tentu terlalu banyak sehingga tidak terhitung oleh kita. Antara nikmat yang telah diberikan oleh Allah itu seperti nikmat Islam, Iman, Akidah yang benar, kelapangan waktu, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, kebahagian rumah tangga, ilmu dan sebagainya .Oleh itu:

- Apabila kamu melihat orang kafir hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kamu dilahirkan sebagai seorang Islam dan jangan lupa berdakwah dan berdoa semoga mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menghina dan membenci mereka sebaliknya , adakah kita telah berdakwah dan memberitahu tentang kebenaran Islam kepada mereka seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?

- Apabila kita melihat orang melakukan maksiat dan engkar perintah Allah s.w.t maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t sifat Taqwa dan sentiasa menurut perintah Allah s.w.t dan janganlah untuk mengajak mereka melakukan ketaatan dan menjauhi segala perkara maksiat sebaliknya janganlah kita umpati mereka.

- Apabila kita melihat orang jahil dengan ilmu Allah s.w.t hendaklah kita segera bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Allah s.w.t telah memberikan kita kefahaman ilmu agama kerana memahami agama juga merupakan rezeki yang Allah s.w.t akan kurnikan kepada mereka yang dipilih dan disayangiNya sahaja. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah s.w.t agar orang yang jahil dalam kalangan umat Islam diberikan nikmat kefahaman Ilmu agama. Allah akan memberikan dunia ini kepada orang yang Dia suka dan orang yang Dia benci sebaliknya Allah s.w.t akan memberikan agama atau akhirat kepada orang yang Dia sayang sahaja. Adakah kita tergolong dalam golongan yang disayangi Allah s.w.t.?

- Apabila kita melihat orang terkena musibah sama ada sakit, susah, atau terkena sebarang bencana hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita telah diberikan kesihatan, kesenangan, kekayaan dan sebagainya oleh Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita berdoa dan berusaha untuk menolong orang yang lebih susah dan lebih memerlukan daripada kita.Allah s.w.t jadikan seseorang itu susah supaya mereka bersabar di atas kesusahan itu lalu mereka mendapat pahala, pada masa yang sama juga orang yang senang akan mendapat pahala juga dengan cara memberi pertolongan kepada mereka yang susah. Fikir-fikirkanlah

Binatang-Binatang Yang Haram Dimakan


Allah s.w.t mendidik hamba-Nya supaya makan benda-benda yang baik,bagus,berkhasiat dan tidak mendatangkan kemudharatan sahaja. Oleh itu Islam telah mengariskan beberapa panduan tentang binatang yang haram dimakan, antaranya ialah:
- Binatang yang mencari makan dengan menggunakan taring seperti harimau,singa,musang dan sebagainya.
- Binatang yang mencari makan dengan menggunakan kuku seperti helang, sewah, anak ring dan sebagainya.
- Binatang yang hidup dengan memakan benda-benda kotor dan najis seperti cicak, biawak, gagak, buaya dan sebagainya.
- Binatang yang hidup di dua alam seperti kura-kura, katak, labi-labi dan sebagainya.
- Binatang yang jelas dinyatakan pengharamannya dalam al-Quran seperti anjing, babi serta keturunannya.
- Binatang yang digalakkan membunuhnya dalam Islam seperti ular, tikus, lipan dan sebagainya.

Peringatan:
- Adapun semua binatang yang hidup dalam air sama ada di laut dan di sungai adalah halal dimakan dengan syarat binatang tersebut tidak makan benda kotor atau najis dan tidak mempunyai racun seperti ular air, buntal dan sebagainya.

Perkara Yang Tidak Dikembalikan

Ada beberapa perkara yang tidak dapat kita kembalikan dalam dunia ini, antaranya ialah:

- Apabila kita baling batu maka kita tidak akan dapat mengembalikannya.
- Apabila kita telah tersalah cakap maka kita tidak akan dapat tarik balik percakapan itu.
- Apabila kita telah mensia-siakan sesuatu peluang yang telah datang kepada kita, maka peluang yang sama tidak akan datang balik kepada kita.
- Apabila kita telah tinggalkan zaman muda atau remaja kita, maka kita tidak dapat mengembalikan remaja kita semula.Oleh itu marilah kita menggunakan peluang yang datang kepada kita dengan sebaik-baiknya.

Cara-Cara Mencegah Sesuatu Kemungkaran

Untuk mencegah sesuatu kemungkaran bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang tersendiri. Kemungkaran ialah sesuatu yang dipandang tidak baik oleh masyarakat dan hukum syarak. Untuk mencegah sesuatu kemungkaran seseorang itu haruslah mengetahui adab-adabnya:

- Orang yang hendak mencegah sesuatu kemungkaran itu hendaklah benar-benar pasti bahawa perkara yang dilakukan itu adalah mungkar menurut pandangan syarak bukan khilaf ulama' atau sebagainya.

- Orang yang hendak mencegah sesuatu kemungkaran tersebut hendaklah orang yang wara' yakni tidak melakukan kemungkaran yang hendak dicegah itu.

- Proses mencegah kemungkaran itu hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah iaitu secara bijaksana dan tidak dilakukan secara terang-terangan dalam khalayak yang boleh memalukan orang yang melakukan kemungkaran tersebut.

- Tidak boleh mengintip untuk membuka keaiban orang lain seperti mengintip dalam rumah dan sebagainya.

- Hendaklah menjelaskan kepada orang yang melakukan sesuatu kemungkaran bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah suatu kemungkaran.

- Hendaklah menjelaskan dalil-dalil daripada al-quran,as-sunnah atau pendapat ulama' tentang kemungkaran yang telah dilakukan itu. Kalau boleh berbincang atau berbahas dengan hujah-hujah dan bahasa yang baik dan elok.

- Hendaklah mencegah sesuatu kemungkaran mengikut keupayaan iaitu dengan tangan(kuasa), Lidah (percakapan) atau dengan hati (Perasaan benci dan tidak setuju dengan kemungkaran yang telah dilakukan). Pencegahan melalui hati adalah selemah-lemah iman. Sesiapa yang tidak ada perasaan benci terhadap sesuatu kemungkaran malahan bersetuju pula dengan program-program maksiat yang dianjurkan maka ia sudah tidak ada iman lagi dalam hatinya.

Pesan Lokman Untuk Anaknya

Lokman al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya mendapat keselamatan dunia dan akhirat. Walaupun pesanan ini khusus untuk anaknya tetapi ia juga boleh diambil pelajaran dan pengajaran bagi kita sebagai mukmin untuk menjalani kehidupan seharian kita khususnya dalam masyarakat hari ini. Lokman berpesan kepada anaknya supaya menjaga 4 anggota dalam 4 keadaan:

- Sekiranya engkau berada dalam solat maka jagalah hatimu supaya tidak lalai dengan masalah-masalah keduniaan .
- Sekiranya engkau berada di hadapan makanan maka jagalah halkummu yakni kerongkongmu supaya tidak makan makanan yang haram dan tidak pula makan terlalu banyak mengikut hawa nafsu.
- Sekiranya engkau berada dalam rumah orang lain maka jagalah matamu supaya kamu tidak terpandang benda-benda yang terlarang termasuk aurat ahli keluarga tersebut.
- Sekiranya engkau berada dalam kalangan manusia maka jagalah mulutmu supaya kita tidak mengeluarkan kata-kata  keji,kesat dan tidak menyenangkan serta menyakitkan hari orang lain.

Allah Menyembunyikan Empat Perkara Dalam Empat Perkara

Sesungguhnya Allah s.w.t merahsiakan kepada hambaNya empat perkara dalam empat perkara:
- Allah s.w.t merahsiakan keredhaanNya dalam ibadat atau amalan baik yang dilakukan oleh hambaNya. Allah tidak memberitahu samada Ia terima atau tidak sesuatu amalan hambaNya.
- Allah s.w.t merahsiakan kemurkaanNya dalam maksiat yang dilakukan oleh hambaNya. Yakni Allah tidak terus membalas ke atas perbuatan buruk hambaNya.
- Allah s.w.t merahsiakan mustajabNya terhadap doa hambaNya. Yakni hambaNya tidak mengetahui sama ada doanya diterima atau tidak.
- Allah s.w.t merahsiakan siapakah wali dalam kalangan hambaNya. Yakni orang tidak tahu siapakah wali dalam kalangan hamba Allah s.w.t dan berkemungkinan wali itu sendiri bahawa mereka itu wali.

Tiga Perkara Yang Dapat Menyelamatkan Seseorang Mukmin


Tiga perkara yang akan dapat menyelamat seseorang mukmin di dunia dan akhirat, antaranya ialah:
- Menjaga lisannya yakni menjaga lidah mereka daripada berkata perkara-perkara yang keji seperti mengumpat,mencerca,memfitnah , mengadu domba dan sebagainya.
- Menyibukkan diri mereka dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat samada di dunia dan akhirat serta meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah.
- Memanjangkan tangisan terhadap kesalahan yang telah dilakukannya. Yakni menyesal dan bertaubat di atas dosa yang telah dilakukan.

GOLONGAN YANG TIDAK DIPANDANG ALLAH DI AKHIRAT NANTI

Tiga golongan manusia yang sangat dimurkai Allah s.w.t, mereka juga tidak akan dipandang Allah dan Allah tidak akan bercakap dengan mereka di akhirat nanti. Sedangkan melihat wajah Allah adalah merupakan nikmat yang paling besar dan diidam-idamkan bagi setiap mukmin di akhirat nanti. Antara golongan itu ialah:

- Golongan penagih arak yang mati dan belum sempat untuk bertaubat.
- Golongan yang mendusta dan tidak yakin serta beriman dengan qadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t
- Golongan yang melakukan perkara-perkara bidaah dalam agama Allah termasuklah mewajibkan perkara yang tidak diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Keburukan Selalu Kenyang

Rasulullah s.a.w tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut-turut sepanjang hayat baginda. Orang Islam pula makan dengan satu bekas sahaja sementara orang kafir makan dengan tujuh bekas. Apabila perut seseorang itu penuh dengan makanan maka fikirannya pun tertutup. Kita sepatutnya membahagikan perut kita kepada tiga bahagian iaitu 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk udara(pernafasan). Ketahuilah bahawa perut yang kenyang adalah punca segala penyakit dan puasa adalah penawar atau ubat yang tidak akan meninggalkan kesan sampingan kepada kita. Antara keburukan kenyang ialah:

- Perut yang sentiasa kenyang akan menyebabkan hati yang keras kerana ia tidak pernah merasai kesusahan dan kelaparan seperti yang dihadapi oleh insan di negara Islam lain yang kurang bernasib baik drp kita.
- Perut yang sentiasa kenyang akan mendatangkan sifat malas untuk berkerja atau beribadah, sebaliknya mereka lebih senang tidur atau berehat sepanjang hari.
- Perut yang sentiasa kenyang juga akan membawa kepada hilangnya kecergasan dan kecerdasan otak kita. Ini kerana apabila seseorang itu kenyang maka pemikirannya menjadi lembab badannya akan menjadi lemah.

Tiga Amalan Yang Sangat Berkualiti

Imam as-Shafie r.a telah berkata bahawa terdapat tiga jenis amalan yang sangat afdhal atau berkualiti untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang mukmin yang sejati. Antaranya ialah:

- Bersikap pemurah waktu ada sedikit harta. Yakni kita sanggup bersedekah walaupun kita hanya mempunyai sedikit harta sekalipun sedangkan kita memerlukannya tetapi kita masih sanggup bersedekah kepada orang yang lebih memerlukan.


- Bersikap wara' walaupun bersendirian. Yakni walaupun kita bersendirian di tempat sunyi daripada pandangan manusia, tetapi kita tidak melakukan dosa atau maksiat kerana takutkan Allah s.w.t. Kita mesti takutkan Allah s.w.t seperti kita melihat-Nya dan sekiranya kita tidak melihat-Nya maka Allah s.w.t sentiasa melihat kita di mana kita berada.

- Berkata benar walaupun kepada orang yang kita yang kita takuti atau yang kita sangat mengharapkan sesuatu daripadanya. Berkatalah benar walaupun pahit, bercakap benar di hadapan seorang pemimpin yang zalim merupakan suatu jihad yang tidak dapat dilakukan oleh ulama'-ulama' di zaman moden ini. Ulama' yang menyembunyikan kebenaran akan dibangkitkan nanti seperti seekor syaitan bisu.

Penyakit Agama

 Tiga golongan yang menjadi penyakit kepada masyarakat yakni golangan yang akan merosakkan masyarakat iaitu:




- Orang faqih yang jahat yakni orang yang alim tentang hukum-hakam agama tetapi tidak mahu menyatakan kebenaran dan cuba menyembunyikan kebenaran kerana menjaga kepentingan duniawi mereka.

- Pemimpin yang zalim yakni pemimpin yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya seperti menzalimi rakyat dan tidak menjalankan hukum Allah s.w.t.

- Orang jahil yang mengeluarkan hukum dalam sesuatu masalah dengan mengikut hawa nafsu dan tidak merujuk kepada ulama',al-Quran dan hadith nabi.

Tahukah Anda Pergerakan Solat Membentuk Nama Ahmad

Tahukah anda bahawa pergerakan solat kita seharian yang terdiri daripada qiam,ruku',sujud dan duduk antara dua sujud yang kita lakukan sebanyak 17 rakaat sehari-semalam rupa-rupanya membentuk nama Ahmad yakni nama Rasulullah s.a.w yang kita cintai dan kasihi.

4 Soalan Yang Dikemukan kepada Saidina Ali k.w

Telah datang seorang lelaki kepada Amirul Mukminin Saidina Ali k.w lalu bertanyakanya 4 soalan iaitu:
1- Apakah yang wajib dan apakah yang lebih wajib?
2- Apakah yang dekat dan apakah yang lebih dekat ?
3- Apakah yang menghairankan dan apakah yang lebih menghairankan ?
4- Apakah yang payah dan apakah yang lebih payah ?

Maka Saidina Ali pun menjawab :
- Yang wajib ialah mentaati Allah s.w.t dan yang lebih wajib ialah meninggalkan berbuat dosa.
- Yang dekat ialah qiamat dan yang lebih dekat ialah mati.
- Yang menghairankan ialah dunia dan yang lebih menghairankan ialah mencintai dunia.
- Yang payah ialah masuk kubur dan yang lebih payah ialah masuk kubur tanpa bekalan amalan.

Saya Ingin Bertaubat, Tapi Bagaimana?


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang  mukmin mudah-mudahan kamu semua beroleh kejayaan." Surah an-Nur, ayat 31
Semua manusia tidak sunyi daripada melakukan maksiat dan kesalahan. Sesungguhnya orang sempurna itu ialah bukan orang tidak pernah melakukan kesalahan atau dosa, tetapi orang yang sempurna itu ialah orang yang apabila ia tersalah melakukan maksiat tetapi ia segera memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Dosa adalah penyakit batin yang apabila ia tidak diubati dan dirawat dengan segera ia boleh membawa kemudharatan kepada iman dan akidah seseorang. Apabila ia dibiarkan tanpa rawatan (taubat) maka ia akan menjadi semakin parah dan susah untuk dirawati. sesungguhnya makhluk Allah s.w.t yang tidak berdosa hanyalah malaikat dan rasul sahaja. Oleh itu di sini penulis menyertakan cara-cara bagi mereka yang ingin bertaubat. Syarat-syarat taubat ialah seperti berikut:

- Niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.
- Segera tinggalkan dosa yang dilakukan .
- Menyesal dengan sepenuh hati terhadap dosa yang telah dilakukan.
- Berazam dengan sepenuh hati untuk tidak mengulangi dosa atau maksiat tersebut.
- Kembalikan hak orang lain yang telah kita ambil seperti barangan, harta dan sebagainya. Sekiranya  kesalahan tersebut berkaitan dengan manusia maka ia hendaklah memohon maaf daripada mereka.

4 Perkara Yang Membawa Rezeki 4 Perkara Yang Menolak Rezeki

Ibn Qayyim r.a berkata:

Empat perkara yang boleh mendatangkan rezeki atau murah rezeki ialah:
- Qiamullail (solat malam )
- Banyak beristighfar di waktu sahur (pagi)
- Sentiasa bersedakah.
- Berzikir pada awal pagi dan petang.


Empat perkara yang menolak rezeki ialah:
- Tidur waktu pagi.
- Tidak cukup solat.
- Pemalas.
- Khianat

Poco - Poco Haram ?

Kebaikan Istighfar

Rasulullah s.a.w meminta ampun kepada Allah s.w.t lebih daripada 70 kali sehari. Ini menunjukkan bukanya Rasulullah s.a.w itu berdosa tetapi Rasulullah s.a.w ingin memberi contoh yang baik kepada umatnya supaya sentiasa beristighfar setiap hari walaupun mereka rasa tidak bersalah. Istighfar itu banyak memberi manfaat kepada seseorang hamba, antaranya .
- Menyambut seruan Allah s.w.t
- Istighfar adalah sebab untuk dimurahkan rezki.
- Istighfar adalah sebab untuk masuk syurga.
- Istighfar adalah sebab untuk diampunkan dosa dan dihapuskan segala kesalahan.
- Istighfar adalah sebab untuk diangkatkan darjat selepas mati.
- Istighfar adalah sebab untuk dihalang atau dielakkan daripada azab.
- Istighfar adalah sebab untuk membersih hati.
- Istighfar adalah sebab untuk seseorang mendapat zuriat.
- Istighfar adalah sebab untuk menjadikan seseorang itu sihat dan kuat.

Qazaf (Tuduhan Zina)

Qazaf ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya.

Qazaf terbahagi kepada dua bahagian:
1 - Qazaf yang pesalahnya boleh dikenakan hukuman hudud. Menuduh seseorang yang baik lagi suci berzina  tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki yang adil hukumnya adalah haram dan temasuk dalam dosa besar dan wajib dikenakan hukum qazaf iaitu sebat sebanyak 80 kali sebatan dan tidak boleh diterima penyaksiannya selama-lamanya kerana dia adalah orang yang fasiq.

2 - Qazaf yang pesalahnya boleh dikenakan hukum ta'zir seperti seseorang yang menuduh orang lain dengan tuduhan murtad, kufur, mencuri, minum arak atau memaki, mencaci yang boleh menjatuhkan maruah atau menghina.

Syarat-Syarat Orang Yang Menuduh Yang Boleh Dikenakan Had Qazaf:

- Berakal yakni tidak gila.
- Baligh yakni telah sampai umur yang dikenakan taklif.
- Kemahuan sendiri yakni tidak dipaksa.
- Mengetahui haramnya qazaf.
- Bukan ibubapa atau datuk hingga ke atas bagi yang tertuduh.

Ilmu Yang Manfaat

من يرد الله به خيرا يفقه فى الدين
"Sesiapa yang dikehendaki kebaikan kepada dirinya , maka Allah akan memberikannya kefahaman ilmu agama."
Ilmu merupakan satu anugerah atau nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada hambaNya. Tidak semua manusia dapat memahami ilmu yang ada di atas muka bumi ini terutamanya ilmu agama. Ilmu yang baik ialah ilmu yang mampu membawa perubahan atau memberi manfaat kepada tuannya. Antara ciri-ciri ilmu yang manfaat ialah:


1 - Ilmu yang boleh menambahkan seseorang itu kepada makrifah (kenal) Allah s.w.t.
2 - Ilmu yang membolehkan seseorang itu mengenali kekurangan dan keaiban diri sendiri.
3 - Ilmu yang boleh menambahkan ketaqwaan seseorang itu kepada Allah s.w.t.
4 - Ilmu yang boleh menambahkan kecintaan seseorang itu kepada Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w.
5 - Ilmu yang boleh mendorong seseorang itu untuk melakukan amalan soleh.
6 - Ilmu yang boleh mengelakkan seseorang itu daripada melakukan perkara maksiat dan mungkar.
7 - Ilmu yang boleh menambahkan kebencian seseorang itu terhadap perkara maksiat dan mungkar.
8 - Ilmu yang membolehkan seseorang itu membezakan antara perkara hak dan batil.

Keredhaan Allah Berada Pada Keredhaan Ibubapa.

Berbuat baik kepada ibubapa merupakan satu kewajipan atau tanggungjawab seorang anak. Tidak kira samada ibubapa itu baik atau jahat, muslim atau kafir. Ini adalah kerana jasa ibubapa terhadap anaknya sangat besar dan tidak akan dapat dibalas oleh anaknya walau dengan apa jua sekalipun. Satu ketika Sahabat bertanyakan Rasulullah s.a.w tentang amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t, lalu Rasulullah s.a.w pun menjawab bahawa amalan yang paling digemari oleh Allah s.w.t ialah solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibubapa dan jihad untuk menegakkan agama Allah. Antara fadhilat berbuat baik kepada ibubapa adalah:
1- Berbuat baik kepada ibubapa menyamai pahala berjihad fi sabilillah.
2- Berbuat baik kepada ibubapa menyamai pahala haji dan umrah.
3- Berbuat baik kepada ibubapa akan diampunkan dosa oleh Allah s.w.t
4- Berbuat baik kepada ibubapa  balasanya adalah syurga.
5- Berbuat baik kepada ibubapa akan menukarkan kecelakaan seseorang itu kepada kebahagiaan.
6- Berbuat baik kepada ibubapa akan mendapat keredhaan Allah s.w.t.
7- Berbuat baik kepada ibubapa akan dimakbulkan doanya oleh Allah s.w.t
8- Berbuat baik kepada ibubapa akan diluaskan rezekinya.
9- Berbuat baik kepada ibubapa akan dipanjangkan umurnya.
10-Memberi nafkah kepada ibubapa seperti infaq ke jalan Allah s.w.t
11-Mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

RUMAH YANG TIDAK DIKUNJUNGI OLEH MALAIKAT


Malaikat rahmat akan mengunjungi setiap rumah untuk membawa rahmat kepada penghuninya. Namun begitu terdapat beberapa jenis rumah yang tidak berpeluang mendapat rahmat Allah s.w.t. Antaranya ialah:

1 - Rumah yang penghuninya memutuskan silaturrahim.
2 - Rumah yang penghuninya makan harta anak yatim.
3 - Rumah yang ada memelihara anjing.
4 - Rumah yang penghuninya suka mencaci dan mencela sahabat, orang mati dll.
5 - Rumah yang ada nyanyian selain daripada zikir kepada Allah.
6 - Rumah yang penghuninya syirik kepada Allah, memakai tangkal atau azimat dan sihir.
7 - Rumah yang ada barang-barang haram seperti pinggang mangkuk daripada emas.
8 - Rumah yang ada bau-bauan yang makruh seperti bawang, petai, dadah dan rokok.
9 - Rumah yang penghuninya melakukan dosa-dosa besar.
10-Rumah yang yang penghuninya selalu melakukan maksiat.
11-Rumah yang penghuninya derhaka kepada ibubapa.
12-Rumah yang penghuninya makan riba.
13-Rumah yang ada padanya majlis-majlis syaitan.
14-Rumah yang ada dalamnya gambar-gambar makhluk bernyawa dan patung-patung.
15-Rumah yang penghuninya peminum arak.
16-Rumah yang ada dimainkan alat-alat muzik yang diharamkan.
17-Rumah yang penghuninya dilaknat Allah seperti perasuah,mengubah kejadian Allah dan tinggal solat.
18-Rumah yang banyak berlaku pembaziran seperti perabot yang mahal dan bukan keperluan tapi kehendak.
19-Rumah yang ada perkara-perkara terkeji di sisi syara'.
20-Rumah yang penghuninya tidak mandi junub.

Hapuskan Dosa dan Tingkatkan Darjat Keimanan

Sabda Rasulullah s.a.w : Mahukah aku kabarkan kamu semua amalan yang akan diampuni dosa dan diangkatkan darjat di sisi Allah ?".
1. Mengambil wudu' dengan sempurna.
2. Memperbanyakkan langkah ke masjid.
3. Menunggu-nunggu waktu sembahyang.

Akibat Makan Banyak

Seorang Mukmin akan makan dengan satu bekas sahaja manakala orang kafir akan makan dengan lapan bekas. Ini menunjukkan Islam menyeru pengikutnya supaya makan sekadar keperluan hidup untuk beribadah bukannya mengikut hawa nafsu yang serakah. Antara keburukan makan banyak ialah:

1. Hilangnya perasaan takut dalam hati seseorang kepada Allah s.w.t.
2. Hilang perasaan kasih sayang terhadap orang lain terutamanya fakir miskin, kerana mereka tidak pernah rasa lapar.
3. Malas untuk melakukan ibadah kepada Allah s.w.t.
4. Tidak ada perasaan insaf terhadap pengajaran atau kata-kata hikmah yang didengarinya.
5. Pengajaran dan nasihat yang disampaikan olehnya tidak akan meninggalkan kesan dalam hati pendengar.
6. Boleh mendatangkan berbagai penyakit yang merbahaya.

Lima Makhluk Allah Yang Dicipta Tanpa Bapa dan Ibu

Allah s.w.t telah mencipta lima makhlukNya tanpa melalui proses perkahwinan antara lelaki dan perempuan atau jantan dan betina. Mereka adalah seperti berikut:
1 - Nabi Adam a.s kerana baginda dicipta tanah.
2 - Saidatina Hawa yakni isteri Nabi Adam yang dicipta dengan tulang rusuk sebelah kiri Nabi Adam.
3 - Kibas yang menjadi ganti kepada Nabi Ismail yang didatangkan oleh Allah s.w.t daripada syurga.
4 - Unta Nabi Solleh a.s yang dikeluarkan Allah s.w.t daripada batu.
5 - Ular makjizat Nabi Musa a.s yang dijadikan oleh Allah s.w.t daripada tongkat baginda.

Anda Ingin Menjadi Wali ?

Berikut Adalah Syarat-Syarat Wali:


- Orang yang benar-benar mengenali Allah s.w.t.
- Orang yang benar-benar menjaga perintah Allah s.w.t.
- Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah s.a.w.
- Sentiasa dalam keadaan berwudu'.
- Redha dengan ketetapan Allah s.w.t (Qada' dan Qadar ).
- Yakin dengan janji Allah s.w.t.
- Putus harapan dengan apa yang ada pada tangan manusia.
- Tabah dan sabar dengan segala penderitaan.
- Rajin mentaati perintah Allah s.w.t.
- Kasih sayang terhadap semua makhluk Allah s.w.t termasuk manusia, tumbuhan , haiwan dll.
- Tawadu' terhadap orang yang lebih muda dan orang yang lebih tua.
- Selalu menjadikan syaitan sebagai musuh yang paling utama.

Empat Perkara Yang Akan Hilang Dengan Empat Sifat Tercela

1 -  Berakal yang akan terhapus dengan sifat marah. Seseorang itu akan hilang akalnya apabila dia marah dan tidak dapat mengawal kemarahannya kerana sifat marah itu dari syaitan.
2 - Beragama yang akan hilang dengan sifat dengki. Seseorang yang mempunyai hasad dengki rela melakukan apa sahaja walaupun terpaksa menjual agamanya demi menghilangkan atau memusnahkan nikmat yang telah diterima oleh orang lain.
3 - Sifat malu yang akan hilang pada seseorang individu yang mempunyai sifat tamak. Tamak yang menguasai seseorang akan menyebabkan ia lupa kepada malu kepada Allah, manusia dan sebagainya asalkan apa yang mereka hasratkan dapat dikecapi.
4 - Amalan Soleh yang akan hilang dengan sifat suka mengumpat. Seseorang yang suka mengumpat akan datang kepada Allah akhirat nanti dengan pahalanya lalu pahalanya akan diagihkan kepada orang yang telah mereka umpat sehinggalah mereka kehabisan pahalanya dan akhirnya jadi muflis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...