Apabila kita sebut Islam semua orang akan mengatakan Islam adalah agama yang sempurna, tiada kekurangan dan satu cara hidup. Islam adalah agama yang Allah swt turunkan khusus untuk hambanya untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini, di samping itu segala amalan yang dilakukan di dunia akan dihisab di akhirat nanti. Islam itu merangkumi segenap perkara seperti ekonomi, pentadbiran, pelajaran, kesihatan, politik dan semuanya. Tetapi malang sekali bagi orang yang mengaku beriman kepada Allah swt mengatakan bahawa politik tidak ada dalam Islam, dengan tidak secara langsung mereka telah mengatakan bahawa Islam ini tidak sempurna kerana tidak ada unsur politik di dalamnya. Apabila mereka mengatakan Islam tidak sempurna maka tanpa disedari mereka mengatakan Allah tidak sempurna, apabila mereka mengatakan Allah tidak sempurna maka murtadlah mereka, sedangkan tugas manusia yang paling besar sebagai seorang khalifah ialah menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi ini, mendirikan agama Islam dan menggunakan Islam untuk menjalani kehidupan di dunia ini. Inilah yang dinamakan politik Islam. Kita hendaklah mengenali Islam secara keseluruhan, barulah kita nampak keindahan dan kecantikannya. Kalau kita katakan seorang wanita itu cantik, bahagian manakah yang cantik?. Matanyakah, hidungnyakah atau mulutnyakah?. Sudah tentu keseluruhan tubuhnya digabungkan semua baru nampak cantiknya. Kita juga jangan mengenali Islam seperti sekumpulan orang buta mengenali gajah.Ada yang terpegang gajah di bahagian kaki, maka dia kata gajah seperti tiang, ada yang terpegang gajah di belalai maka ia kata gajah seperti ular dan sebagainya sebaliknya kita mesti mengenali gajah seperti orang yang boleh melihat dengan jelas. Begitu juga kita hendaklah mengenali Islam itu dengan keimanan, mata hati dan kaitkan dengan kehidupan akhirat barulah kita akan dapat faham bahawa Islam ini adalah untuk mengatur dan memudahkan Umat Islam dunia dan akhirat bukan untuk memecah belahkan umat Islam dan menyusahkan. Fikirlah dengan akal bukan dengan nafsu.
0 comments:
Post a Comment