twitter
    Ikutilah status semasa saya, InsyaAllah :)

SILA PILIH SIARAN YANG ANDA GEMARI. PADAMKAN RADIO UNTUK TONTON TV



 KATA - KATA IMAM AL-GHAZALI

Sesiapa mengaku empat perkara tanpa empat perkara maka dia telah berbohong;

# Sesiapa mengaku cintakan syurga tapi tidak melakukan ketaatan kepada Allah swt. maka ia telah berbohong.

# Sesiapa yang mengaku cintakan Rasulullah saw tapi tidak suka ulama' dan orang miskin maka ia telah berbohong.

# Sesiapa yang mengaku takutkan neraka tapi tidak meninggalkan maksiat, maka ia telah berbohong.

# Sesiapa yang mengaku cintakan Allah swt tetapi merungut dengan ujian Allah swt . maka dia telah berbohong.

AMALAN-AMALAN YANG BOLEH MENYUCIKAN HATI KITA

*     Berkawan dengan orang-orang yang soleh.

*     Menjaga pemakanan yakni tidak makan makanan yang haram atau syubuhah.

*     Selalu membaca al-Quran dan mentadabburnya .

*     Sentiasa berzikir kepada Allah swt.

*     Qiamullail walaupun seketika.


Selamat Mencuba

TANDA - TANDA HATI SIHAT

Tanda - tanda hati yang sihat ialah seperti berikut:

*     Hati yang sentiasa mengutamakan perkara - perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi perkara  - perkara yang boleh membawa kepada bahaya.

*     Hati yang mengutamakan akhirat daripada dunia.

*     Hati yang sentiasa bertaubat kepada Allah swt dan menggantungkan hidupnya hanya kepada Allah sahaja.

*     Hati yang selalu mengingati Allah swt dan tidak bosan untuk beribadah.

*     Hati yang bersedih apabila luput atau terlepas daripada wirid(zikir) lebih daripada kehilangan harta dunia.


Ubat Hati

Abdullah bin Al-Autaqi berkata:
Ubat hati itu ada lima:

1 - Bergaul dengan orang alim.

2 - Suka membaca dan tadabbur al-Quran.

3 - Membersih perut daripada makanan haram.

4 - Suka qiamullail.

5 - Zikir dan berdoa kepada Allah swt ketika fajar

Cara Mengubat Hati

Imam al-Ghazali ada memberi nasihat untuk membersih hati daripada penyakit yang memyebabkan seseorang itu merasa ria', bangga, ego dan sebagainya.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang yang lebih tua hendaklah kamu mengatakan bahawa mereka lebih baik daripada kamu kerana mereka telah lama hidup dan telah banyak amalan yang mereka lakukan.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang yang lebih muda atau kanak-kanak maka hendaklah kamu mengatakan bahawa mereka lebih baik daripada kamu kerana mereka baru sedikit melakukan dosa berbanding kamu yang lebih lama hidup dan lebih banyak dosa.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang melakukan maksiat maka hendaklah kamu berkata bahawa mereka melakukan maksiat kerana jahil tentang dosa dan pahala sedangkan kamu melakukan maksiat sedangkan kamu mengetahuinya.

- Apabila kamu berjumpa ulama' atau orang alim maka kamu hendaklah mengatakan mereka lebih baik daripada kamu kerana mempunyai banyak ilmu sedangkan kamu kurang ilmu.

CIRI-CIRI MANUSIA YANG BAIK


Marilah kita muhasabah diri sendiri sebelum kita dihisab di hadapan Allah swt sebagaimana kata-kata Saidina Umar al-Khatab : Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan timbanglah amalan kamu sebelum amalan kamu ditimbangkan. Ada beberapa ciri yang boleh kita kenal pasti pada diri kita samada kita tergolong dalam kalangan orang yang baik , bahagia di dunia dan akhirat atau tidak. Antara ciri-ciri manusia yang dikatakan bahagia itu ialah:

- Orang yang mempunyai hati yang tenang. Selalu bersangka baik kepada Allah mahupun kepada manusia.
- Orang yang mempunyai amalan yang baik yakni tidak bertentang dengan al-Quran dan as-Sunnah.
- Orang yang mempunyai hubungan yang baik samada dengan Allah swt ataupun dengan makhluk.
- Orang yang dikurniakan oleh Allah swt pasangan yang baik yakni soleh dan solehah.

Golongan Manusia Yang AllahTidak Terima Solat Mereka


Solat merupakan tiang agama. Amalan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah swt di akhirat nanti ialah solat. Sekiranya solatnya tidak diterima maka semua amalan lain tidak akan diterima dan sekiranya solatnya diterima maka barulah akan dihisab amalan-amalan lain. Namun begitu haruslah diingatkan bahawa di sana terdapat beberapa golongan manusia yang Allah tidak akan menerima solatnya, antaranya ialah:

- Solat  yang dilakukan secara bersendirian yakni tidak berjamaah tanpa uzur yang boleh diterima syara'.
- Solat orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan ia layak atau mampu mengeluarkan zakat.
- Solat orang yang melakukan perbuatan zina dan ia tidak taubat nasuha kepada Allah swt.
- Solat orang yang makan riba dan tidak bertaubat nasuha kepada Allah swt.
- Solat orang yang menyamun.
- Solat orang  yang makan dan minum benda yang haram .
- Solat orang yang makan dan minum dari rezeki yang haram.
- Solat orang yang menjual benda yang haram.
- Solat seorang hamba yang lari daripada tuannya.
- Solat seorang perempuan yang derhaka, masam muka atau bercakap kasar terhadap suaminya.

TANDA-TANDA KEBAHAGIAAN DAN KEJAYAAN SESEORANG HAMBA

Semua manusia menghendaki kebahagian dan kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu di sini dinyatakan beberapa tanda kebahagian dan kejayaan seseorang hamba Allah s.w.t:
Antara tanda-tanda kebahagiaan dan kejayaan seseorang itu ialah:

- Semakin bertambah ilmu seseorang itu maka makin bertambahlah sifat rendah diri dan kasih sayangnya terhadap orang lain.

- Semakin bertambah amalannya maka semakin bertambahlah perasaan takutnya kepada Allah s.w.t.

- Semakin bertambah umurnya maka semakin kuranglah perasaan tamaknya kepada harta dunia.

- Semakin bertambah hartanya maka semakin bertambahlah sifat pemurahnya dan membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.

- Semakin bertambah kuasa dan kemuliaan darjatnya maka semakin bertambah sifat rendah diri dan semakin dekat dengan orang lain dan menunaikan hajat orang lain.


Sesungguhnya seseorang itu tidak akan dapat apa yang dia kehendaki untuk dirinya tetapi ia akan dapat apa yang Allah kehendaki kepada dirinya.

SYIRIK !!! CEGAH SEBELUM PARAH

Syirik adalah merupakan dosa yang paling besar. Allah akan mengampuni segala dosa lain selain dosa syirik. Oleh itu setiap individu muslim wajib menghindari diri mereka daripada terjerumus ke lembah syirik ini. Orang yang melakukan dosa syirik ini juga dianggap orang yang paling zalim , ini kerana mereka menyekutukan Allah swt dengan makhluknya dan akhirnya dosa ini akan memyebabkan diri mereka akan diazab oleh Allah swt dalam neraka nanti. Namun begitu kita mampu berusaha untuk mencegah diri kita daripada melakukan dosa syirik ini. Antara langkah-langkah untuk kita terselamat daripada dosa besar ini adalah seperti berikut:

- Kita hendak berlimu iaitu mengetahui apakah perkara-perkara yang berkaitan dosa syirik ini. Syirik boleh terjadi melalui tiga cara iaitu perkataan seperti seseorang itu berkata : " Undang-undang hudud sudah tidak sesuai untuk diamalkan di zaman moden ini." Atau juga boleh terjadi melalui perbuatan seperti seseorang menyembah berhala atau melakukan ritual agama lain, atau melalui iktikad(keyakinan dalam hati) seperti yakin bahawa semua agama adalah sama.

- Kita hendaklah sentiasa ikhlas yakni ikhlas dalam segala ibadat samada ibadat khusus atau ibadat umum kerana Allah swt semata-mata. Amalan yang akan diterima oleh Allah ialah amalan yang dilakukan ikhlas kerana Allah swt sahaja.

- Sentiasa muhasabah diri atau membuat refleksi terhadap segala amalan kita sama ada bertepatan dengan kehendak Allah swt atau bertentangan dengan kehendak-Nya. Sekiranya apa yang kita lakukan tidak bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah maka bersegeralah kita kembali ke jalan Allah swt sebelum terlambat iaitu mati.

- Sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya ditetapkan hati kita dalam iman dan menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan iman kita. Ini kerana Allah maha berkuasa untuk membalik-balikkan hati seseorang samada berkekalan dalam melakukan kebaikan atau bertukar menjadi ahli maksiat.

TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA


Sesebuah negara itu akan menjadi aman dan makmur apabila rakyatnya berakhlak mulia. Antara individu penting yang menyumbang ke arah kemakmuran sesebuah negara itu ialah seperti berikut:.

- Pemimpin yang adil. Al-Imam al-Ghazali ada berkata: " Rosaknya rakyat kerana rosaknya pemimpin,rosaknya pemimpin kerana rosaknya ulama dan rosaknya ulama kerana harta."

- Ulama' yang memberi nasihat. Ulama wajib menasihati pemimpin dan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian supaya selaras dengan kehendak Allah s.w.t. Apalah gunanya sebuah negara yang maju di sudut ekonomi tetapi mundur di sudut akhlak.

- Pekerja yang ikhlas. Ikhlas adalah satu sifat mulia dan ia sangat penting dalam semua pekerjaan sama ada dalam fardhu ain atau fardhu kifayah. Allah swt tidak akan memberi ganjaran pahala ke atas amalan yang tiada ada sifat ikhlas. Ikhlas adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia, tidak boleh ditulis ganjaran oleh malaikat kecuali setelah diberitahu oleh Allah swt dan ikhlas juga tidak dapat diganggu oleh syaitan.

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Bagi seorang pelajar atau murid haruslah menepati beberapa syarat untuk menuntut ilmu agar ilmu yang dicari akan memberi manfaat kepadanya di dunia mahupun di akhirat. Di antara adab-adab yang perlu dimiliki oleh seorang penuntut ialah seperti berikut:

- Niat yang ikhlas kepada Allah swt . Yakni mencari ilmu kerana ia merupakan satu kefardhuan daripada Allah.  Mencari ilmu bukan bertujuan untuk mendapat habuan dunia semata-mata atau untuk berdebat dengan orang   jahil. Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan selain daripada kerana Allah swt maka telah siap untuknya   neraka Allah swt.

- Tekun dan bertawakkal hanya kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt sangat suka kepada orang yang 
  melakukan sesuatu pekerjaan lalu ia tekun mengerjakannya. kita hendaklah bertawakkal hanya kepada Allah  swt. sahaja dalam segenap hal, lebih-lebih lagi dalam masalah menuntut ilmu . Ini kerana kita sebagai hamba  hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang menentukan segalanya.

- Menjauhi segala maksiat. Maksiat adalah satu punca daripada punca-punca seseorang pelajar itu susah untuk  menerima, memahami dan mengamalkan sesuatu ilmu. Seorang pelajar perlulah berusaha semampu yang boleh  untuk mengelakkan dirinya daripada sebarang maksiat. Sekiranya ia melakukan maksiat secara tidak sedar  maka segeralah bertaubat kepada Allah swt. Orang yang sempurna bukan orang yang tidak pernah melakukan   maksiat tetapi orang yang sempurna ialah orang yang apabila ia melakukan maksiat ia terus bertaubat kepada  Allah swt dengan segera.

- Memilih kawan yang soleh. Kawan memainkan peranan penting bagi orang yang hendak menuntut ilmu. Kita akan senang terpengaruh dengan akhlak kawan, sekiranya kita memilih kawan yang soleh mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang soleh juga.

- Banyakkan zikir atau mengingati Allah swt. Kita tidak akan melakukan sesuatu maksiat di saat kita mengingati Allah swt. Zikir juga akan memberi ketenangan kepada jiwa kita. Apabila jiwa kita tenang maka segalah masalah akan dapat diselesaikan dengan baik.

- Menghormati diri sendiri dan orang lain. Ramai orang yang boleh menghormati orang lain tetapi tidak ramai orang yang mampu menghormati diri sendiri seperti tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan badan,roh dan akal.

- Doa daripada ibubapa. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang pelajar. Doa yang tidak akan ditolak oleh Allah swt ada tiga golongan iaitu doa orang yang dizalimi,doa ibubapa dan doa orang musafir.

- Menghormati guru. Seorang pelajar wajib menghormati gurunya untuk mendapat keberkatan dalam hidupnya. Gurulah yang berkorban untuk menjadikan kita seorang yang berilmu pengetahuan sehingga dapat memasuki menara gading dan mendapatkan pekerjaan yang baik.

- Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Allah amat murka kepada mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ilmu yang tidak diamal ibarat pohon yang tidak berbuah.

4 PERKARA YANG MENYEBABKAN HILANGNYA AGAMA


Sheikh Abdul Qadir al-Jailani ada berkata: Ketahuilah agamamu akan hilang disebabkan empat perkara:

- Kamu tidak  mengamalkan apa yang kamu  tahu.
- Kamu mengamalkan apa yang kamu tidak tahu.
- Kamu tidak berusaha untuk mengetahui apa yang kamu tidak ketahui sehingga kamu kekal dalam keadaan
  bodoh.
- Kamu melarang manusia daripada berusaha untuk mengetahui apa yang mereka tidak tahu.

Kata-Kata Hatim bin A'sam

Telah berkata Hatim bin A'sam: Sesiapa yang istiqamah dalam empat perkara maka ia akan mendapat keredhaan Allah swt:

1- Yakin hanya kepada Allah swt yakni memberi rezeki,memberi kemudharatan dan segalanya dari Allah swt. Selain daripada Allah swt tidak akan dapat memberikan manfaat dan kemudharatan tanpa izin Allah swt.

2. Bertawakal kepada Allah swt semata-mata.Yakni menyerahkan segala urusannya kepada Allah swt setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan telah melakukan yang terbaik, maka yang selebihnya diserahkan kepada Allah swt.

3. Ikhlas hanya kepada Allah swt. Melakukan sesuatu ibadah atau pekerjaan hanya untuk mendapat balasan Allah swt tanpa ingin mendapat pujian dan balasan daripada makhluk Allah yang lain.

4. Mememahami dan mengenali Qada' dan Qadar Allah swt. Yakin menyakini  bahawa segala yang berlaku adalah atas perancangan dan kehendak Allah swt dan kita sebagai hambanya mampu berusaha sahaja.

Salah Faham Terhadap Ramadhan

Apabila tibanya Ramadhan , maka banyaklah salah faham yang kita dengar dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Antaranya ialah:
- Tidak seronok dan merasa terbeban dengan kedatangan Ramadhan, sedangkan Ramadhan adalah bulan yang sangat diberkati Allah dan mempunyai banyak kelebihannya.
- Berlebihan berbelanja atau melakukan pembaziran di bulan Ramadhan sepatutnya bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita berjimat-cermat dan kita dapat merasa penderitaan orang miskin.
- Lupa atau tidak berniat berpuasa pada waktu malam. Sepatutnya niat itu bermula bila masuk waktu berbuka pada hari tersebut.
- Makan dan minum sewaktu bersahur sehingga habis azan subuh. Sepatutnya kita mesti berhenti makan apabila mendengan azan subuh.
- Tidak mengetahui kelebihan atau fadhilat bulan Ramadhan dan menyambutnya seperti bulan lain.
- Tidak solat Tarawikh pada malam pertama Ramadhan.
- Tidak mencegah orang yang makan pada waktu siang kerana terlupa.
- Tidak membenarkan anak-anak yang belum baligh yang ingin turut berpuasa.
- menganggap makan dan minum pada waku siang kerana lupa itu boleh membatalkan puasa.
- Berpendapat bahawa bercelak, memakai inai, menitis air mata palsu dan merasa makan bagi suri rumah boleh membatalkan puasa.
- Tidak mengetahui dengan jelas tentang perkara-perkara yang membatalkan puasa.
- Tidak bersugi atau memberus gigi waktu siang hari.
- tidak berdoa waktu berpuasa dan berbuka sedangkan orang yang berpuasa adalah antara orang yang paling makbul doanya.
- Beranggapan bahawa tidak boleh menyetubuhi isteri dalam bulan Ramadan pada waktu malam.
- Tidak boleh berpuasa bagi perempuan yang berhenti haidnya sebelum fajar kerana belum mandi wajib.
- Menangis semasa solat Tarawikh sehingga menggangu jemaah lain.
- Banyak tidur pada waktu siang hari.
- Solat Tarawikh terlalu laju .
- Perempuan hadir ke masjid dengan memakai bau-bauan dan tidak menutup aurat yang sempurna.
- Sibuk untuk membeli - belah pakaian raya dan membuat kuih raya sehingga tidak solat Tarawikh pada 10 malam akhir Ramadhan.
- Sibuk berbuka puasa sehingga tidak menjawab azan Maghrib.
- Banyak meludah sehingga menganggu orang lain. Sedangkan menelan air liur tidak membatalkan puasa.
- Berlebihan menggunakan air semasa berkhumur dan memasukkan air kedalam hidung.
- Berpuasa tetapi tidak meninggalkan perkara-perkara maksiat.
- Tidak bersahur.
- Menyegerakan bersahur sebelum waktunya.
- Melewat-lewatkan berbuka setelah masuk waktu.
- Tidak berbuka dengan benda-benda yang disunatkan seperti buah tamar.
- Makan banyak semasa berbuka.
- Tidak solat maghrib berjamaah kerana leka berbuka.
- Melewat-lewatkan solat maghrib kerana lekan dengan berbuka.

3 Golongan Yang Perlu Dihormati

Rasulullah s.a.w menyeru umat Islam supaya menghormati tiga golongan ini:

- Orang tua yang soleh. Menghormati orang tua adalah merupakan tanggungjawab seorang muslim. Rasulullah s.a.w  bersabda mafhumnya ialah : " Bukan daripada umatku atau golongan ku, mereka yang tidak menghormati orang tua dan mengasihi golongan kanak-kanak.

- Ulama' yang takutkan Allah s.w.t. Iaitu ilmuan Islam yang beramal dengan ilmunya dan menyeru orang lain  untuk melakukan maaruf dan mencegah kemungkaran. Ulama' yang berani menyatakan kebenaran kepada masyarakat dan sanggup berkata benar walaupun di hadapan sultan yang zalim. Ulama' yang tidak menjual agama mereka demi kepentingan kehidupan duniawi.

- Pemimpin yang adil. Yakni pemimpin yang berlaku ada kepada rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa dan status. Pemimpin yang menurut segala perintah Allah s.w.t serta melaksana segala tuntutan Allah s.w.t seperti menegakkan Islam sebagai ad-din atas muka bumi ini. Menjadikan Islam yang memerintah bukan diperintah.

Pesanan Imam As-Shafie

Imam As-Shafie ada berpesan kepada kita semua beberapa perkara untuk menjadi panduan supaya hidup kita selamat dunia dan akhirat. Antara pesanan beliau ialah:

- Perbanyakkan mengingati dan menyebut Allah s.w.t daripada menyebut manusia.
- Perbanyakkan mengingati dan menyebut akhirat daripada menyebut urusan keduniaan.
- Perbanyakkan mengingati dan menyebut kematian daripada menyebut tentang kehidupan.
- Jangan banyak menyebut atau menceritakan kebaikan dan kelebihan diri serta keluarga kepada orang lain.
- Jangan banyak menyebut dan mengingati kesalahan dan keaiban orang lain.

Jenis-Jenis Zalim

Zalim adalah lawan kepada adil. Adil bukan bermaksud sama rata tetapi adil itu ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Zalim pula bermaksud meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya seperti meletakkan songkok di kaki bukan di kepala. Zalim itu terbahagi kepada tiga bahagian:

- Zalim terhadap Allah s.w.t iaitu dengan melakukan syirik kepadaNya. Menyembah, mengharap, meminta, beribadah dan berserah diri kepada selain dari Allah s.w.t. Oleh itu orang-orang kafir telah melakukan kezaliman yang paling besar sekali.

- Zalim terhadap diri sendiri iaitu tidak melaksanakan perintah Allah s.w.t dan melakukan maksiat kerana perbuatan tersebut akan mencampakkan diri mereka ke neraka yang amat menyakitkan diri sendiri.

- Zalim terhadap makhluk lain termasuk manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan iaitu dengan mengambil hak orang lain, menyiksa binatang dan melakukan kerosakan terhadap alam sekitar.

Benarkah Osama Laden Sudah Mati

Sila perhatikan betul-betul gambar ini. Gambar 1 ialah gambar Osama yang sebenar, gambar 2 adalah gambar seorang yang telah mati dan gambar 3 ialah gambar campuran daripada gambar 1 dan 2. Adakah ini hanya permainan Amerika sahaja untuk menipu umat Islam yang sudah lama tertipu.

Solat Sunat Rawatib

Solat Sunat rawatib adalah solat sunat yang dilakukan sebelum dan selepas solat fardhu lima waktu. Solat Sunat Rawatib ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu Solat Sunat Rawatib Muakkad dan bukan muakkad.


Solat Sunat Rawatib Muakkad:

- Dua rakaat sebelum solat Subuh.
- Dua rakaat sebelum solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Maghrib.
- Dua rakaat selepas solat Isya'.

Solat Sunat Rawatib Bukan Muakkad:

- Dua  rakaat sebelum solat Zohor, yakni tambahan kepada dua rakaat di atas, yang menjadikan empat rakaat sebelum solat Zohor.
- Dua rakaat selepas solat Zohor, yakni tambahan kepada dua rakaat di atas yang menjadikan empat rakaat selepas solat Zohor.
- Empat rakaat sebelum solat Asar.
- Dua rakaat sebelum solat Maghrib.
- Dua rakaat sebelum solat Isya'.

Bersyukurlah Kita Dengan Nikmat Allah s.w.t

Setiap muslim dituntut supaya bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan. Sekiranya kita hitung nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita sudah tentu terlalu banyak sehingga tidak terhitung oleh kita. Antara nikmat yang telah diberikan oleh Allah itu seperti nikmat Islam, Iman, Akidah yang benar, kelapangan waktu, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, kebahagian rumah tangga, ilmu dan sebagainya .Oleh itu:

- Apabila kamu melihat orang kafir hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kamu dilahirkan sebagai seorang Islam dan jangan lupa berdakwah dan berdoa semoga mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menghina dan membenci mereka sebaliknya , adakah kita telah berdakwah dan memberitahu tentang kebenaran Islam kepada mereka seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?

- Apabila kita melihat orang melakukan maksiat dan engkar perintah Allah s.w.t maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t sifat Taqwa dan sentiasa menurut perintah Allah s.w.t dan janganlah untuk mengajak mereka melakukan ketaatan dan menjauhi segala perkara maksiat sebaliknya janganlah kita umpati mereka.

- Apabila kita melihat orang jahil dengan ilmu Allah s.w.t hendaklah kita segera bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Allah s.w.t telah memberikan kita kefahaman ilmu agama kerana memahami agama juga merupakan rezeki yang Allah s.w.t akan kurnikan kepada mereka yang dipilih dan disayangiNya sahaja. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah s.w.t agar orang yang jahil dalam kalangan umat Islam diberikan nikmat kefahaman Ilmu agama. Allah akan memberikan dunia ini kepada orang yang Dia suka dan orang yang Dia benci sebaliknya Allah s.w.t akan memberikan agama atau akhirat kepada orang yang Dia sayang sahaja. Adakah kita tergolong dalam golongan yang disayangi Allah s.w.t.?

- Apabila kita melihat orang terkena musibah sama ada sakit, susah, atau terkena sebarang bencana hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita telah diberikan kesihatan, kesenangan, kekayaan dan sebagainya oleh Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita berdoa dan berusaha untuk menolong orang yang lebih susah dan lebih memerlukan daripada kita.Allah s.w.t jadikan seseorang itu susah supaya mereka bersabar di atas kesusahan itu lalu mereka mendapat pahala, pada masa yang sama juga orang yang senang akan mendapat pahala juga dengan cara memberi pertolongan kepada mereka yang susah. Fikir-fikirkanlah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...