twitter
    Ikutilah status semasa saya, InsyaAllah :)

SILA PILIH SIARAN YANG ANDA GEMARI. PADAMKAN RADIO UNTUK TONTON TV



Cara Mengubat Hati

Imam al-Ghazali ada memberi nasihat untuk membersih hati daripada penyakit yang memyebabkan seseorang itu merasa ria', bangga, ego dan sebagainya.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang yang lebih tua hendaklah kamu mengatakan bahawa mereka lebih baik daripada kamu kerana mereka telah lama hidup dan telah banyak amalan yang mereka lakukan.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang yang lebih muda atau kanak-kanak maka hendaklah kamu mengatakan bahawa mereka lebih baik daripada kamu kerana mereka baru sedikit melakukan dosa berbanding kamu yang lebih lama hidup dan lebih banyak dosa.

- Apabila kamu berjumpa dengan orang melakukan maksiat maka hendaklah kamu berkata bahawa mereka melakukan maksiat kerana jahil tentang dosa dan pahala sedangkan kamu melakukan maksiat sedangkan kamu mengetahuinya.

- Apabila kamu berjumpa ulama' atau orang alim maka kamu hendaklah mengatakan mereka lebih baik daripada kamu kerana mempunyai banyak ilmu sedangkan kamu kurang ilmu.

CIRI-CIRI MANUSIA YANG BAIK


Marilah kita muhasabah diri sendiri sebelum kita dihisab di hadapan Allah swt sebagaimana kata-kata Saidina Umar al-Khatab : Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan timbanglah amalan kamu sebelum amalan kamu ditimbangkan. Ada beberapa ciri yang boleh kita kenal pasti pada diri kita samada kita tergolong dalam kalangan orang yang baik , bahagia di dunia dan akhirat atau tidak. Antara ciri-ciri manusia yang dikatakan bahagia itu ialah:

- Orang yang mempunyai hati yang tenang. Selalu bersangka baik kepada Allah mahupun kepada manusia.
- Orang yang mempunyai amalan yang baik yakni tidak bertentang dengan al-Quran dan as-Sunnah.
- Orang yang mempunyai hubungan yang baik samada dengan Allah swt ataupun dengan makhluk.
- Orang yang dikurniakan oleh Allah swt pasangan yang baik yakni soleh dan solehah.

Golongan Manusia Yang AllahTidak Terima Solat Mereka


Solat merupakan tiang agama. Amalan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah swt di akhirat nanti ialah solat. Sekiranya solatnya tidak diterima maka semua amalan lain tidak akan diterima dan sekiranya solatnya diterima maka barulah akan dihisab amalan-amalan lain. Namun begitu haruslah diingatkan bahawa di sana terdapat beberapa golongan manusia yang Allah tidak akan menerima solatnya, antaranya ialah:

- Solat  yang dilakukan secara bersendirian yakni tidak berjamaah tanpa uzur yang boleh diterima syara'.
- Solat orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan ia layak atau mampu mengeluarkan zakat.
- Solat orang yang melakukan perbuatan zina dan ia tidak taubat nasuha kepada Allah swt.
- Solat orang yang makan riba dan tidak bertaubat nasuha kepada Allah swt.
- Solat orang yang menyamun.
- Solat orang  yang makan dan minum benda yang haram .
- Solat orang yang makan dan minum dari rezeki yang haram.
- Solat orang yang menjual benda yang haram.
- Solat seorang hamba yang lari daripada tuannya.
- Solat seorang perempuan yang derhaka, masam muka atau bercakap kasar terhadap suaminya.

TANDA-TANDA KEBAHAGIAAN DAN KEJAYAAN SESEORANG HAMBA

Semua manusia menghendaki kebahagian dan kejayaan di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu di sini dinyatakan beberapa tanda kebahagian dan kejayaan seseorang hamba Allah s.w.t:
Antara tanda-tanda kebahagiaan dan kejayaan seseorang itu ialah:

- Semakin bertambah ilmu seseorang itu maka makin bertambahlah sifat rendah diri dan kasih sayangnya terhadap orang lain.

- Semakin bertambah amalannya maka semakin bertambahlah perasaan takutnya kepada Allah s.w.t.

- Semakin bertambah umurnya maka semakin kuranglah perasaan tamaknya kepada harta dunia.

- Semakin bertambah hartanya maka semakin bertambahlah sifat pemurahnya dan membelanjakan hartanya pada jalan Allah s.w.t.

- Semakin bertambah kuasa dan kemuliaan darjatnya maka semakin bertambah sifat rendah diri dan semakin dekat dengan orang lain dan menunaikan hajat orang lain.


Sesungguhnya seseorang itu tidak akan dapat apa yang dia kehendaki untuk dirinya tetapi ia akan dapat apa yang Allah kehendaki kepada dirinya.

SYIRIK !!! CEGAH SEBELUM PARAH

Syirik adalah merupakan dosa yang paling besar. Allah akan mengampuni segala dosa lain selain dosa syirik. Oleh itu setiap individu muslim wajib menghindari diri mereka daripada terjerumus ke lembah syirik ini. Orang yang melakukan dosa syirik ini juga dianggap orang yang paling zalim , ini kerana mereka menyekutukan Allah swt dengan makhluknya dan akhirnya dosa ini akan memyebabkan diri mereka akan diazab oleh Allah swt dalam neraka nanti. Namun begitu kita mampu berusaha untuk mencegah diri kita daripada melakukan dosa syirik ini. Antara langkah-langkah untuk kita terselamat daripada dosa besar ini adalah seperti berikut:

- Kita hendak berlimu iaitu mengetahui apakah perkara-perkara yang berkaitan dosa syirik ini. Syirik boleh terjadi melalui tiga cara iaitu perkataan seperti seseorang itu berkata : " Undang-undang hudud sudah tidak sesuai untuk diamalkan di zaman moden ini." Atau juga boleh terjadi melalui perbuatan seperti seseorang menyembah berhala atau melakukan ritual agama lain, atau melalui iktikad(keyakinan dalam hati) seperti yakin bahawa semua agama adalah sama.

- Kita hendaklah sentiasa ikhlas yakni ikhlas dalam segala ibadat samada ibadat khusus atau ibadat umum kerana Allah swt semata-mata. Amalan yang akan diterima oleh Allah ialah amalan yang dilakukan ikhlas kerana Allah swt sahaja.

- Sentiasa muhasabah diri atau membuat refleksi terhadap segala amalan kita sama ada bertepatan dengan kehendak Allah swt atau bertentangan dengan kehendak-Nya. Sekiranya apa yang kita lakukan tidak bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah maka bersegeralah kita kembali ke jalan Allah swt sebelum terlambat iaitu mati.

- Sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya ditetapkan hati kita dalam iman dan menjauhkan kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan iman kita. Ini kerana Allah maha berkuasa untuk membalik-balikkan hati seseorang samada berkekalan dalam melakukan kebaikan atau bertukar menjadi ahli maksiat.

TONGGAK KEMAKMURAN NEGARA


Sesebuah negara itu akan menjadi aman dan makmur apabila rakyatnya berakhlak mulia. Antara individu penting yang menyumbang ke arah kemakmuran sesebuah negara itu ialah seperti berikut:.

- Pemimpin yang adil. Al-Imam al-Ghazali ada berkata: " Rosaknya rakyat kerana rosaknya pemimpin,rosaknya pemimpin kerana rosaknya ulama dan rosaknya ulama kerana harta."

- Ulama' yang memberi nasihat. Ulama wajib menasihati pemimpin dan rakyat dalam menjalani kehidupan seharian supaya selaras dengan kehendak Allah s.w.t. Apalah gunanya sebuah negara yang maju di sudut ekonomi tetapi mundur di sudut akhlak.

- Pekerja yang ikhlas. Ikhlas adalah satu sifat mulia dan ia sangat penting dalam semua pekerjaan sama ada dalam fardhu ain atau fardhu kifayah. Allah swt tidak akan memberi ganjaran pahala ke atas amalan yang tiada ada sifat ikhlas. Ikhlas adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia, tidak boleh ditulis ganjaran oleh malaikat kecuali setelah diberitahu oleh Allah swt dan ikhlas juga tidak dapat diganggu oleh syaitan.

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Bagi seorang pelajar atau murid haruslah menepati beberapa syarat untuk menuntut ilmu agar ilmu yang dicari akan memberi manfaat kepadanya di dunia mahupun di akhirat. Di antara adab-adab yang perlu dimiliki oleh seorang penuntut ialah seperti berikut:

- Niat yang ikhlas kepada Allah swt . Yakni mencari ilmu kerana ia merupakan satu kefardhuan daripada Allah.  Mencari ilmu bukan bertujuan untuk mendapat habuan dunia semata-mata atau untuk berdebat dengan orang   jahil. Barang siapa yang mencari ilmu dengan tujuan selain daripada kerana Allah swt maka telah siap untuknya   neraka Allah swt.

- Tekun dan bertawakkal hanya kepada Allah swt. Sesungguhnya Allah swt sangat suka kepada orang yang 
  melakukan sesuatu pekerjaan lalu ia tekun mengerjakannya. kita hendaklah bertawakkal hanya kepada Allah  swt. sahaja dalam segenap hal, lebih-lebih lagi dalam masalah menuntut ilmu . Ini kerana kita sebagai hamba  hanya mampu berusaha tetapi Allahlah yang menentukan segalanya.

- Menjauhi segala maksiat. Maksiat adalah satu punca daripada punca-punca seseorang pelajar itu susah untuk  menerima, memahami dan mengamalkan sesuatu ilmu. Seorang pelajar perlulah berusaha semampu yang boleh  untuk mengelakkan dirinya daripada sebarang maksiat. Sekiranya ia melakukan maksiat secara tidak sedar  maka segeralah bertaubat kepada Allah swt. Orang yang sempurna bukan orang yang tidak pernah melakukan   maksiat tetapi orang yang sempurna ialah orang yang apabila ia melakukan maksiat ia terus bertaubat kepada  Allah swt dengan segera.

- Memilih kawan yang soleh. Kawan memainkan peranan penting bagi orang yang hendak menuntut ilmu. Kita akan senang terpengaruh dengan akhlak kawan, sekiranya kita memilih kawan yang soleh mudah-mudahan kita akan menjadi insan yang soleh juga.

- Banyakkan zikir atau mengingati Allah swt. Kita tidak akan melakukan sesuatu maksiat di saat kita mengingati Allah swt. Zikir juga akan memberi ketenangan kepada jiwa kita. Apabila jiwa kita tenang maka segalah masalah akan dapat diselesaikan dengan baik.

- Menghormati diri sendiri dan orang lain. Ramai orang yang boleh menghormati orang lain tetapi tidak ramai orang yang mampu menghormati diri sendiri seperti tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan badan,roh dan akal.

- Doa daripada ibubapa. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam kejayaan seseorang pelajar. Doa yang tidak akan ditolak oleh Allah swt ada tiga golongan iaitu doa orang yang dizalimi,doa ibubapa dan doa orang musafir.

- Menghormati guru. Seorang pelajar wajib menghormati gurunya untuk mendapat keberkatan dalam hidupnya. Gurulah yang berkorban untuk menjadikan kita seorang yang berilmu pengetahuan sehingga dapat memasuki menara gading dan mendapatkan pekerjaan yang baik.

- Beramal dengan ilmu yang dipelajari. Allah amat murka kepada mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkannya. Ilmu yang tidak diamal ibarat pohon yang tidak berbuah.

4 PERKARA YANG MENYEBABKAN HILANGNYA AGAMA


Sheikh Abdul Qadir al-Jailani ada berkata: Ketahuilah agamamu akan hilang disebabkan empat perkara:

- Kamu tidak  mengamalkan apa yang kamu  tahu.
- Kamu mengamalkan apa yang kamu tidak tahu.
- Kamu tidak berusaha untuk mengetahui apa yang kamu tidak ketahui sehingga kamu kekal dalam keadaan
  bodoh.
- Kamu melarang manusia daripada berusaha untuk mengetahui apa yang mereka tidak tahu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...