twitter
    Ikutilah status semasa saya, InsyaAllah :)

SILA PILIH SIARAN YANG ANDA GEMARI. PADAMKAN RADIO UNTUK TONTON TV



Bersyukurlah Kita Dengan Nikmat Allah s.w.t

Setiap muslim dituntut supaya bersyukur dengan segala nikmat yang telah Allah s.w.t berikan. Sekiranya kita hitung nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada kita sudah tentu terlalu banyak sehingga tidak terhitung oleh kita. Antara nikmat yang telah diberikan oleh Allah itu seperti nikmat Islam, Iman, Akidah yang benar, kelapangan waktu, kesihatan tubuh badan, ketenangan jiwa, kebahagian rumah tangga, ilmu dan sebagainya .Oleh itu:

- Apabila kamu melihat orang kafir hendaklah kamu bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kamu dilahirkan sebagai seorang Islam dan jangan lupa berdakwah dan berdoa semoga mereka juga akan diberi hidayah oleh Allah s.w.t. Janganlah kita menghina dan membenci mereka sebaliknya , adakah kita telah berdakwah dan memberitahu tentang kebenaran Islam kepada mereka seperti yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.?

- Apabila kita melihat orang melakukan maksiat dan engkar perintah Allah s.w.t maka hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita dianugerahkan oleh Allah s.w.t sifat Taqwa dan sentiasa menurut perintah Allah s.w.t dan janganlah untuk mengajak mereka melakukan ketaatan dan menjauhi segala perkara maksiat sebaliknya janganlah kita umpati mereka.

- Apabila kita melihat orang jahil dengan ilmu Allah s.w.t hendaklah kita segera bersyukur kepada Allah s.w.t kerana Allah s.w.t telah memberikan kita kefahaman ilmu agama kerana memahami agama juga merupakan rezeki yang Allah s.w.t akan kurnikan kepada mereka yang dipilih dan disayangiNya sahaja. Oleh itu hendaklah kita berdoa kepada Allah s.w.t agar orang yang jahil dalam kalangan umat Islam diberikan nikmat kefahaman Ilmu agama. Allah akan memberikan dunia ini kepada orang yang Dia suka dan orang yang Dia benci sebaliknya Allah s.w.t akan memberikan agama atau akhirat kepada orang yang Dia sayang sahaja. Adakah kita tergolong dalam golongan yang disayangi Allah s.w.t.?

- Apabila kita melihat orang terkena musibah sama ada sakit, susah, atau terkena sebarang bencana hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana kita telah diberikan kesihatan, kesenangan, kekayaan dan sebagainya oleh Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kita berdoa dan berusaha untuk menolong orang yang lebih susah dan lebih memerlukan daripada kita.Allah s.w.t jadikan seseorang itu susah supaya mereka bersabar di atas kesusahan itu lalu mereka mendapat pahala, pada masa yang sama juga orang yang senang akan mendapat pahala juga dengan cara memberi pertolongan kepada mereka yang susah. Fikir-fikirkanlah

Binatang-Binatang Yang Haram Dimakan


Allah s.w.t mendidik hamba-Nya supaya makan benda-benda yang baik,bagus,berkhasiat dan tidak mendatangkan kemudharatan sahaja. Oleh itu Islam telah mengariskan beberapa panduan tentang binatang yang haram dimakan, antaranya ialah:
- Binatang yang mencari makan dengan menggunakan taring seperti harimau,singa,musang dan sebagainya.
- Binatang yang mencari makan dengan menggunakan kuku seperti helang, sewah, anak ring dan sebagainya.
- Binatang yang hidup dengan memakan benda-benda kotor dan najis seperti cicak, biawak, gagak, buaya dan sebagainya.
- Binatang yang hidup di dua alam seperti kura-kura, katak, labi-labi dan sebagainya.
- Binatang yang jelas dinyatakan pengharamannya dalam al-Quran seperti anjing, babi serta keturunannya.
- Binatang yang digalakkan membunuhnya dalam Islam seperti ular, tikus, lipan dan sebagainya.

Peringatan:
- Adapun semua binatang yang hidup dalam air sama ada di laut dan di sungai adalah halal dimakan dengan syarat binatang tersebut tidak makan benda kotor atau najis dan tidak mempunyai racun seperti ular air, buntal dan sebagainya.

Perkara Yang Tidak Dikembalikan

Ada beberapa perkara yang tidak dapat kita kembalikan dalam dunia ini, antaranya ialah:

- Apabila kita baling batu maka kita tidak akan dapat mengembalikannya.
- Apabila kita telah tersalah cakap maka kita tidak akan dapat tarik balik percakapan itu.
- Apabila kita telah mensia-siakan sesuatu peluang yang telah datang kepada kita, maka peluang yang sama tidak akan datang balik kepada kita.
- Apabila kita telah tinggalkan zaman muda atau remaja kita, maka kita tidak dapat mengembalikan remaja kita semula.Oleh itu marilah kita menggunakan peluang yang datang kepada kita dengan sebaik-baiknya.

Cara-Cara Mencegah Sesuatu Kemungkaran

Untuk mencegah sesuatu kemungkaran bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia memerlukan ilmu dan kemahiran yang tersendiri. Kemungkaran ialah sesuatu yang dipandang tidak baik oleh masyarakat dan hukum syarak. Untuk mencegah sesuatu kemungkaran seseorang itu haruslah mengetahui adab-adabnya:

- Orang yang hendak mencegah sesuatu kemungkaran itu hendaklah benar-benar pasti bahawa perkara yang dilakukan itu adalah mungkar menurut pandangan syarak bukan khilaf ulama' atau sebagainya.

- Orang yang hendak mencegah sesuatu kemungkaran tersebut hendaklah orang yang wara' yakni tidak melakukan kemungkaran yang hendak dicegah itu.

- Proses mencegah kemungkaran itu hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah iaitu secara bijaksana dan tidak dilakukan secara terang-terangan dalam khalayak yang boleh memalukan orang yang melakukan kemungkaran tersebut.

- Tidak boleh mengintip untuk membuka keaiban orang lain seperti mengintip dalam rumah dan sebagainya.

- Hendaklah menjelaskan kepada orang yang melakukan sesuatu kemungkaran bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah suatu kemungkaran.

- Hendaklah menjelaskan dalil-dalil daripada al-quran,as-sunnah atau pendapat ulama' tentang kemungkaran yang telah dilakukan itu. Kalau boleh berbincang atau berbahas dengan hujah-hujah dan bahasa yang baik dan elok.

- Hendaklah mencegah sesuatu kemungkaran mengikut keupayaan iaitu dengan tangan(kuasa), Lidah (percakapan) atau dengan hati (Perasaan benci dan tidak setuju dengan kemungkaran yang telah dilakukan). Pencegahan melalui hati adalah selemah-lemah iman. Sesiapa yang tidak ada perasaan benci terhadap sesuatu kemungkaran malahan bersetuju pula dengan program-program maksiat yang dianjurkan maka ia sudah tidak ada iman lagi dalam hatinya.

Pesan Lokman Untuk Anaknya

Lokman al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya mendapat keselamatan dunia dan akhirat. Walaupun pesanan ini khusus untuk anaknya tetapi ia juga boleh diambil pelajaran dan pengajaran bagi kita sebagai mukmin untuk menjalani kehidupan seharian kita khususnya dalam masyarakat hari ini. Lokman berpesan kepada anaknya supaya menjaga 4 anggota dalam 4 keadaan:

- Sekiranya engkau berada dalam solat maka jagalah hatimu supaya tidak lalai dengan masalah-masalah keduniaan .
- Sekiranya engkau berada di hadapan makanan maka jagalah halkummu yakni kerongkongmu supaya tidak makan makanan yang haram dan tidak pula makan terlalu banyak mengikut hawa nafsu.
- Sekiranya engkau berada dalam rumah orang lain maka jagalah matamu supaya kamu tidak terpandang benda-benda yang terlarang termasuk aurat ahli keluarga tersebut.
- Sekiranya engkau berada dalam kalangan manusia maka jagalah mulutmu supaya kita tidak mengeluarkan kata-kata  keji,kesat dan tidak menyenangkan serta menyakitkan hari orang lain.

Allah Menyembunyikan Empat Perkara Dalam Empat Perkara

Sesungguhnya Allah s.w.t merahsiakan kepada hambaNya empat perkara dalam empat perkara:
- Allah s.w.t merahsiakan keredhaanNya dalam ibadat atau amalan baik yang dilakukan oleh hambaNya. Allah tidak memberitahu samada Ia terima atau tidak sesuatu amalan hambaNya.
- Allah s.w.t merahsiakan kemurkaanNya dalam maksiat yang dilakukan oleh hambaNya. Yakni Allah tidak terus membalas ke atas perbuatan buruk hambaNya.
- Allah s.w.t merahsiakan mustajabNya terhadap doa hambaNya. Yakni hambaNya tidak mengetahui sama ada doanya diterima atau tidak.
- Allah s.w.t merahsiakan siapakah wali dalam kalangan hambaNya. Yakni orang tidak tahu siapakah wali dalam kalangan hamba Allah s.w.t dan berkemungkinan wali itu sendiri bahawa mereka itu wali.

Tiga Perkara Yang Dapat Menyelamatkan Seseorang Mukmin


Tiga perkara yang akan dapat menyelamat seseorang mukmin di dunia dan akhirat, antaranya ialah:
- Menjaga lisannya yakni menjaga lidah mereka daripada berkata perkara-perkara yang keji seperti mengumpat,mencerca,memfitnah , mengadu domba dan sebagainya.
- Menyibukkan diri mereka dengan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat samada di dunia dan akhirat serta meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berfaedah.
- Memanjangkan tangisan terhadap kesalahan yang telah dilakukannya. Yakni menyesal dan bertaubat di atas dosa yang telah dilakukan.

GOLONGAN YANG TIDAK DIPANDANG ALLAH DI AKHIRAT NANTI

Tiga golongan manusia yang sangat dimurkai Allah s.w.t, mereka juga tidak akan dipandang Allah dan Allah tidak akan bercakap dengan mereka di akhirat nanti. Sedangkan melihat wajah Allah adalah merupakan nikmat yang paling besar dan diidam-idamkan bagi setiap mukmin di akhirat nanti. Antara golongan itu ialah:

- Golongan penagih arak yang mati dan belum sempat untuk bertaubat.
- Golongan yang mendusta dan tidak yakin serta beriman dengan qadar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t
- Golongan yang melakukan perkara-perkara bidaah dalam agama Allah termasuklah mewajibkan perkara yang tidak diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Keburukan Selalu Kenyang

Rasulullah s.a.w tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut-turut sepanjang hayat baginda. Orang Islam pula makan dengan satu bekas sahaja sementara orang kafir makan dengan tujuh bekas. Apabila perut seseorang itu penuh dengan makanan maka fikirannya pun tertutup. Kita sepatutnya membahagikan perut kita kepada tiga bahagian iaitu 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk udara(pernafasan). Ketahuilah bahawa perut yang kenyang adalah punca segala penyakit dan puasa adalah penawar atau ubat yang tidak akan meninggalkan kesan sampingan kepada kita. Antara keburukan kenyang ialah:

- Perut yang sentiasa kenyang akan menyebabkan hati yang keras kerana ia tidak pernah merasai kesusahan dan kelaparan seperti yang dihadapi oleh insan di negara Islam lain yang kurang bernasib baik drp kita.
- Perut yang sentiasa kenyang akan mendatangkan sifat malas untuk berkerja atau beribadah, sebaliknya mereka lebih senang tidur atau berehat sepanjang hari.
- Perut yang sentiasa kenyang juga akan membawa kepada hilangnya kecergasan dan kecerdasan otak kita. Ini kerana apabila seseorang itu kenyang maka pemikirannya menjadi lembab badannya akan menjadi lemah.

Tiga Amalan Yang Sangat Berkualiti

Imam as-Shafie r.a telah berkata bahawa terdapat tiga jenis amalan yang sangat afdhal atau berkualiti untuk kita amalkan dalam kehidupan seharian sebagai seorang mukmin yang sejati. Antaranya ialah:

- Bersikap pemurah waktu ada sedikit harta. Yakni kita sanggup bersedekah walaupun kita hanya mempunyai sedikit harta sekalipun sedangkan kita memerlukannya tetapi kita masih sanggup bersedekah kepada orang yang lebih memerlukan.


- Bersikap wara' walaupun bersendirian. Yakni walaupun kita bersendirian di tempat sunyi daripada pandangan manusia, tetapi kita tidak melakukan dosa atau maksiat kerana takutkan Allah s.w.t. Kita mesti takutkan Allah s.w.t seperti kita melihat-Nya dan sekiranya kita tidak melihat-Nya maka Allah s.w.t sentiasa melihat kita di mana kita berada.

- Berkata benar walaupun kepada orang yang kita yang kita takuti atau yang kita sangat mengharapkan sesuatu daripadanya. Berkatalah benar walaupun pahit, bercakap benar di hadapan seorang pemimpin yang zalim merupakan suatu jihad yang tidak dapat dilakukan oleh ulama'-ulama' di zaman moden ini. Ulama' yang menyembunyikan kebenaran akan dibangkitkan nanti seperti seekor syaitan bisu.

Penyakit Agama

 Tiga golongan yang menjadi penyakit kepada masyarakat yakni golangan yang akan merosakkan masyarakat iaitu:




- Orang faqih yang jahat yakni orang yang alim tentang hukum-hakam agama tetapi tidak mahu menyatakan kebenaran dan cuba menyembunyikan kebenaran kerana menjaga kepentingan duniawi mereka.

- Pemimpin yang zalim yakni pemimpin yang tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya seperti menzalimi rakyat dan tidak menjalankan hukum Allah s.w.t.

- Orang jahil yang mengeluarkan hukum dalam sesuatu masalah dengan mengikut hawa nafsu dan tidak merujuk kepada ulama',al-Quran dan hadith nabi.

Tahukah Anda Pergerakan Solat Membentuk Nama Ahmad

Tahukah anda bahawa pergerakan solat kita seharian yang terdiri daripada qiam,ruku',sujud dan duduk antara dua sujud yang kita lakukan sebanyak 17 rakaat sehari-semalam rupa-rupanya membentuk nama Ahmad yakni nama Rasulullah s.a.w yang kita cintai dan kasihi.

4 Soalan Yang Dikemukan kepada Saidina Ali k.w

Telah datang seorang lelaki kepada Amirul Mukminin Saidina Ali k.w lalu bertanyakanya 4 soalan iaitu:
1- Apakah yang wajib dan apakah yang lebih wajib?
2- Apakah yang dekat dan apakah yang lebih dekat ?
3- Apakah yang menghairankan dan apakah yang lebih menghairankan ?
4- Apakah yang payah dan apakah yang lebih payah ?

Maka Saidina Ali pun menjawab :
- Yang wajib ialah mentaati Allah s.w.t dan yang lebih wajib ialah meninggalkan berbuat dosa.
- Yang dekat ialah qiamat dan yang lebih dekat ialah mati.
- Yang menghairankan ialah dunia dan yang lebih menghairankan ialah mencintai dunia.
- Yang payah ialah masuk kubur dan yang lebih payah ialah masuk kubur tanpa bekalan amalan.

Saya Ingin Bertaubat, Tapi Bagaimana?


Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang  mukmin mudah-mudahan kamu semua beroleh kejayaan." Surah an-Nur, ayat 31
Semua manusia tidak sunyi daripada melakukan maksiat dan kesalahan. Sesungguhnya orang sempurna itu ialah bukan orang tidak pernah melakukan kesalahan atau dosa, tetapi orang yang sempurna itu ialah orang yang apabila ia tersalah melakukan maksiat tetapi ia segera memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Dosa adalah penyakit batin yang apabila ia tidak diubati dan dirawat dengan segera ia boleh membawa kemudharatan kepada iman dan akidah seseorang. Apabila ia dibiarkan tanpa rawatan (taubat) maka ia akan menjadi semakin parah dan susah untuk dirawati. sesungguhnya makhluk Allah s.w.t yang tidak berdosa hanyalah malaikat dan rasul sahaja. Oleh itu di sini penulis menyertakan cara-cara bagi mereka yang ingin bertaubat. Syarat-syarat taubat ialah seperti berikut:

- Niat yang ikhlas kerana Allah s.w.t.
- Segera tinggalkan dosa yang dilakukan .
- Menyesal dengan sepenuh hati terhadap dosa yang telah dilakukan.
- Berazam dengan sepenuh hati untuk tidak mengulangi dosa atau maksiat tersebut.
- Kembalikan hak orang lain yang telah kita ambil seperti barangan, harta dan sebagainya. Sekiranya  kesalahan tersebut berkaitan dengan manusia maka ia hendaklah memohon maaf daripada mereka.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...